Tumpuan :
Nasional

DPLB 2030 perlu disemak semula, selari dengan RMK13

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Pelan Tindakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) dan Pelan Strategik Kementerian 2025 perlu disemak semula agar selari dengan fokus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi memastikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) benar-benar berada di laluan yang tepat untuk membangunkan masyarakat desa.

“Selain penilaian dalaman, kementerian harus bekerjasama dengan badan penyelidikan pihak ketiga yang bebas untuk memastikan penilaian program dan inisiatif dibuat secara objektif.

“Untuk lebih memahami maklum balas rakyat, saya ingin mengarahkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi menjalankan kajian menyeluruh mengenai tahap kepuasan rakyat terhadap penyediaan keperluan asas, kemudahan asas dan usaha memangkin sosioekonomi kawasan pedesaan.

“Dapatan ini sangat penting untuk memastikan perancangan kita kekal relevan dan lebih berimpak.” Katanya dalam ucaptama pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di KKDW.

Selain itu, Ahmad Zahid mahukan kementeriannya untuk fokus bersama bagi menghasilkan output dan outcome yang melangkaui kebiasaan.

“Jangan sesekali kita leka dengan isu-isu kecil yang boleh menjejaskan matlamat besar yang kita perjuangkan bersama.

“InsyaAllah, pada 17 hingga 19 Januari nanti, kita akan berkumpul sekali lagi untuk berbincang secara mendalam dan melahirkan lebih banyak idea segar.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan tahun 2025 sebagai tahun yang lebih gemilang daripada tahun-tahun sebelumnya.” Katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini