
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan sebuah buletin bertujuan menjelaskan dan memberi penerangan berkenaan Pangkalan Data Utama (PADU).
Pautan penerbitan yang mempunyai 20 helaian itu menjelaskan pelaksanaan PADU bermula dengan Pembangunan Fasa 1 PADU pada Jun 2023 sehingga diluncurkan pada Januari 2024.
Tadbir urus pembangunan PADU melibatkan tiga pasukan kerja utama iaitu Pasukan Kerja Pemurnian Hala Tuju; Pasukan Kerja Pengurusan Data dan Pasukan Kerja Pembangunan Sistem dengan kerjasama daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Digital Negara, Kementerian Digital.
Pelancaran perancangan pelaksanaan PADU dilaksanakan menerusi dua siri Bengkel Gerak Kerja Pelaksanaan PADU dan beberapa sesi libat urus awalan bersama agensi kerajaan.
Dalam fasa awalan pembangunan, rakyat diberitahu PADU akan memfokuskan kepada pengukuhan dalam perkongsian dan pengintegrasian data antara inter-agensi menerusi platform MyGDX, yang mana MAMPU telah menyediakan 40 lesen API bagi keperluan pengintegrasian data antara agensi.
Antara agensi yang telah tersedia dengan aplikasi API adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan lain-lain.
Pada 2 Januari lalu, PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.
Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata penyasaran semula subsidi nanti akan menggunakan maklumat yang ada dalam sistem PADU.
Rafizi berkata sebanyak 17.65 juta atau 58.7 peratus keseluruhan profil rakyat termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun berjaya dikemas kini dalam sistem PADU.
Pendaftaran sistem PADU ditutup pada 11.59 malam 31 Mac 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Baki 4 hari, 8.79 juta sudah mendaftar PADU – Kementerian Ekonomi
- Lebih 7.36 juta kemas kini maklumat dalam sistem PADU
- [VIDEO] PM minta Rafizi jelaskan isu PADU kepada Jemaah Menteri minggu depan
- PADU: Kerajaan tidak cadang lanjut tempoh pendaftaran
- Kerajaan Persekutuan hormati keputusan Sarawak tangguhkan pendaftaran PADU
- Rafizi jumpa kerajaan Sarawak minggu depan, bincang isu PADU
- Isu Sarawak tangguh PADU selesai – PM