Tumpuan :
Nasional

Doktor ditahan berkelakuan tidak senonoh di hospital

Foto hiasan



GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedia memberikan kerjasama kepada polis berhubung kes seorang pegawai perubatan di sebuah hospital yang ditahan kerana didakwa berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja semalam.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihak JKNPP tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai perubatan itu.

“JKNPP ingin merujuk kepada kenyataan yang dimuat naik di laman media Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan tangkapan penjawat awam bersangkut kes kelakuan tidak senonoh di tempat kerja dan penjawat awam yang dinyatakan adalah pegawai perubatan yang sedang berkhidmat di fasiliti JKNPP.

“JKNPP ingin memaklumkan bahawa kes itu di bawah siasatan PDRM dan kami akan memberi sepenuh kerjasama dalam siasatan selanjutnya dan memandang serius serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, polis mengesahkan seorang pegawai perubatan berusia 43 tahun ditahan di sebuah hospital di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Ia selepas polis menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kejadian tidak senonoh di tempat kerja.

Loading...
Terkini