Tumpuan :
Nasional

‘Doktor Bangladesh’ tawar khidmat jual ubat tidak berdaftar kepada warga asing

 

Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan. Foto: Ihsan JIM

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Kegiatan sekumpulan warga Bangladesh yang berselindung di sebalik kedai makan dan kedai runcit terbongkar apabila mereka sebenarnya menjalankan khidmat doktor tidak bertauliah.

Mereka juga didapati menjual ubat-ubatan tidak berdaftar dan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Aktiviti itu dibongkar menerusi operasi khas yang dijalankan Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) bersama KKM semalam di 10 lokasi sekitar Kuala Lumpur iaitu enam lokasi di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua lokasi Leboh Pudu dan satu lokasi di Jalan Silang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan mendapati ubat-ubatan itu dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.

Pihak KKM merampas 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan lebih RM 265,000. Foto: Ihsan JIM

Menjadikan warga Bangladesh sebagai sasaran, bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan.

Ia dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu.

“Pasukan operasi JIM telah merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai RM800 dipercayai adalah hasil rawatan dan jualan ubat,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil serbuan, pihak KKM merampas 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan lebih RM265,000.

JIM merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai RM800 dipercayai adalah hasil rawatan dan jualan ubat. Foto: Ihsan JIM

“Warganegara asing ini juga disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.13(a) Akta Racun 1952, Per.3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan bahan Psikotropik) 1989, dan Per.7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” ujarnya.

10 lelaki warga Bangladesh berusia di antara 31 hingga 50 tahun, yang ditahan didapati memiliki pelbagai kesalahan imigresen.

“Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS sektor pembinaan, dua orang telah tinggal lebih masa, manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Kesemua warga asing itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Manakala dua lelaki warga Bangladesh dan enam perempuan warga tempatan telah diberi notis untuk hadir ke pejabat JIM bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini