comscore
Tumpuan :
Nasional

Dobi bebas asap rokok, jamin kesihatan semua

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Langkah mewartakan bangunan dobi sebagai tempat larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) disambut baik pelanggan premis berkenaan.

 

Menurut Jasny Abdullah, 62, tindakan tersebut bukan sahaja menyebabkan persekitaran dobi bebas asap rokok tetapi menjamin kesihatan terutama golongan rentan seperti ibu mengandung dan kanak-kanak yang berada di bangunan terbabit.

Justeru, pesara kerajaan itu mahu golongan perokok tidak mengambil sikap endah tak endah dengan pewartaan berkenaan.

“Sepatutnya benda (pewartaan) itu bila berkuat kuasa, mereka (perokok) dah ada akal, mereka boleh berfikir sendiri. Tak perlulah kerajaan menggunakan penguatkuasaan sampai kita nak dikawal segala serba serbi.

“Sebenarnya benda itu boleh kita fikirkan demi kesihatan bukan untuk diri kita tapi untuk orang lain terutama wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Senada dengan beliau ialah Siti Mulyawati Ahmad, 58.

Pekerja swasta ini menyokong penuh langkah dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) apatah lagi jelasnya, merokok membahayakan kesihatan.

“Kadang-kadang kita datang dobi, kita takut tinggal anak-anak di rumah, kita datang (ke dobi) bawa anak-anak. Memang terasa (dengan bau asap rokok), bagi saya pun, saya ada penyakit lelah, kalau bau (asap) rokok memang tak boleh dekat dengan perokok.

“Saya harap perokok tegar faham perasaan orang yang datang ke dobi, sebenarnya niat untuk mendobi tapi dapat suasana yang tak bagus, udara yang tak bagus,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa dobi layan diri sekitar Presint Diplomatik, di sini mendapati tanda amaran larangan merokok ditampal di sekitar premis.

Ia sebagai amaran kepada pelanggan bahawa aktiviti merokok tidak dibenarkan sama sekali di dobi berkenaan.

Berdasarkan Akta 852, selain bangunan dobi, satu lagi premis iaitu bangunan tempat kerja menjadi kawasan baharu disenaraikan sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan ke atas kedua-dua premis tersebut bermula 1 Januari 2025.

Ia menjadikan tempat larangan merokok di bawah akta terbabit kini berjumlah 28 berbanding 23 kawasan sebelum ini, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini