Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Bangunan dobi kini termasuk di antara 28 kawasan larangan merokok menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan rasa syukur kerana perjuangan beliau sejak 2019 untuk merealisasikan hasrat itu tercapai.
“Pastinya saya berasa bersyukur akhirnya dobi menjadi tempat awam (larangan merokok) yang didatangi pastinya ibu-ibu, isteri-isteri bawa anak-anak dan sebagainya, (kadang-kadang) untuk rehat tempat itu,” katanya pada sesi taklimat media berhubung Akta 852, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.
Pada 1 Januari 2019, ketika menjawat jawatan Menteri Kesihatan buat kali pertama, Dzulkefly dilapor berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui wujud keperluan mendesak untuk memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok kerana tempat awam seperti kedai dobi dan hotel lazimnya dibelenggu masalah asap rokok.
Mengulas lanjut, menurut beliau, bangunan tempat kerja juga tersenarai kawasan baharu diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di dalam akta tersebut.
Jelas Dzulkefly, meskipun telah diwartakan namun tindakan penguatkuasaan hanya akan bermula selepas 1 Januari 2025.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit), Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Noraryana Hassan berkata, tindakan penguatkuasaan yang bermula tahun depan adalah bagi memberi masa secukupnya kepada pemilik premis untuk menampal tanda amaran larangan merokok.
“Kita nak beri peluang (pemilik) dobi untuk dapatkan segera tanda amaran larangan merokok (dan meletakkan di premis),” katanya.
Kawasan dilarang merokok lain yang diwartakan adalah di kawasan hospital atau klinik, kedai berhawa dingin, kompleks membeli-belah, di dalam kenderaan awam dan lif atau tandas awam.