Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Doa sebagai senjata’, jemaah doa kesejahteraan Palestin

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kira-kira 100 jemaah di Masjid Putra, di sini menunaikan solat sunat hajat dan bacaan Qunut Nazilah untuk mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam di Palestin yang sedang berjihad menentang kezaliman Israel.

Solat hajat itu juga sebagai tanda solidariti memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara keselamatan rakyat negara berkenaan, selain sokongan moral, prihatin dan kebersamaan Malaysia dengan saudara seagama di bumi Palestin.

Solat sunat hajat dan bacaan Qunut Nazilah diadakan selepas solat Maghrib, diimamkan imam bertugas, Ustaz Mohd Hamdi Abdul Kadir.

Menurut jemaah, Mejar (B) Jamaludin Hasan, amalan sunat yang dilaksanakan ini adalah fardu kifayah buat umat Islam untuk terus mendoakan kejayaan rakyat Palestin meskipun tidak berjuang di lapangan bersama mereka.

“Semangat berjuang kita adalah terus berdoa pada Allah kerana doa adalah senjata, kita harapkan agar dengan hidayah, doa dan permintaan pada Allah ditunaikan serta beri kejayaan kepada seluruh umat Islam di dunia,” katanya.

Seorang lagi jemaah, Datuk Allauddin Anuar mendoakan agar rakyat Palestin berada dalam keadaan selamat, diberikan ketabahan menghadapi dugaan dan dilindungi Allah.

“Kita berharap doa yang dibaca imam tadi dimakbul Allah kerana itu saja daya termampu kita di bumi Malaysia kepada rakyat di sana. Insya-Allah kita menyokong sebagaimana Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia memberi sokongan besar kepada perjuangan rakyat Palestin untuk menuntut hak dan negara mereka yang diceroboh puak Yahudi di bumi Gaza,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menyeru masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, selain Masjid

Putra di sini untuk mengadakan solat sunat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin, malam ini.

Beliau berkata masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut diminta untuk melakukan solat hajat pada tarikh sama.

Mohd Na’im turut menyeru majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri untuk bersama-sama menyahut saranan berkenaan dengan mengadakan solat hajat di masjid dan surau di negeri masing-masing.

Sabtu lalu, Ketua Tentera Hamas Mohammed Al-Deif mengisytiharkan permulaan operasi ketenteraan dinamakan Operasi Banjir Al-Aqsa untuk menentang Israel susulan serangan roket bertubi-tubi dari Semenanjung Gaza.

Rentetan itu, tentera Israel melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin sebelum ini dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 413 rakyat Palestin terbunuh manakala 2,300 lagi cedera ketika serangan Israel di Semenanjung Gaza memasuki hari kedua pada Ahad.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini