Tumpuan :
Nasional

DIY metanol boleh jadi toksik yang membunuh

Foto hiasan

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Amalan memproses minuman beralkohol sendiri atau secara DIY menggunakan metanol adalah praktis yang berbahaya dan mengundang mudarat.

Buktinya, apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menerima lebih 50 notifikasi kes keracunan dan membabitkan sehingga 33 kematian akibat metanol dalam tempoh sebulan.

Meskipun umum mengetahui bahaya pengambilan metanol dan membawa kesan negatif sehingga kehilangan nyawa namun masih ada yang berani mencuba melakukan eksperimen khususnya untuk minuman.

Menurut pakar metanol adalah alkohol yang paling ringkas yang dikaitkan dengan kumpulan hidroksil, ia mempunyai bau tersendiri yang sangat menyerupai bau etanol iaitu alkohol dalam minuman keras.

Pun begitu, metanol sangat beracun dan tidak sesuai untuk digunakan untuk minuman.

Pensyarah Pusat Pengajian Industri Makanan, Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Wan Mohd Fadli Wan Mokhtar

Pensyarah Pusat Pengajian Industri Makanan, Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Wan Mohd Fadli Wan Mokhtar berkata, kebanyakan kemudaratan berlaku kerana segelintir mereka yang ketagih alkohol tidak tahu menilai metanol dan etanol.

“Metanol yang terdapat di pasaran biasanya dihasilkan secara tindak balas kimia di makmal manakala etanol yang terdapat dalam minuman beralkohol adalah sebatian yang dihasilkan daripada proses semulajadi yang dipanggil proses penampaian.

“Dalam banyak kes mereka yang cuba bereksperimentasi menghasilkan minuman beralkohol adalah disebabkan prosesnya lebih cepat selain kos yang murah menggunakan Metanol.

“Selain itu, Metanol juga mudah menyerap dan tersebar ke organ dan badan manusia dengan kaedah menghidu, penelanan atau terkena pada kulit manusia,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3, semalam.

Wan Mohd Fadli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyalah gunakan metanol yang terdapat di pasaran terutama dalam menghasilkan minuman beralkohol kerana ia amat amat toksik pada badan kita dan boleh menyebabkan kematian.

Baru-baru ini, 27 pelajar sebuah sekolah menengah, di Pitas mengalami keracunan manakala dua lagi meninggal dunia akibat keracunan metanol selepas dipercayai meminum minuman bercampur spirit di asrama sekolah mereka.

Mangsa yang maut pada jam 4 petang kelmarin di Unit Rawatan Rapi Hospital Queen Elizabeth II membabitkan pelajar berusia 17 tahun manakala seorang lagi pelajar maut Rabu lalu ketika menerima rawatan disebabkan kegagalan pelbagai organ.

Loading...
Terkini