Tumpuan :
Nasional

Dividen mengukuh, cerminan daya tahan KWSP – Amir Hamzah

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengatasi jangkaan dengan mencatatkan dividen kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, membuktikan daya tahan serta komitmennya dalam menjamin masa depan persaraan ahlinya, tegas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pencapaian KWSP itu mencerminkan keyakinan terhadap ekonomi negara serta keberkesanan dasar fiskal yang dilaksanakan kerajaan.

“Turut membanggakan adalah Simpanan Shariah berjaya mencatat prestasi yang setanding dengan Simpanan Konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024,” katanya.

Selain itu, caruman sukarela mencatat peningkatan ketara sebanyak 32 peratus kepada 1.193 juta berbanding 902,213 pada 2023, mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memastikan simpanan persaraan mencukupi.

“Peningkatan caruman sukarela juga jelas menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara kelak.

“Ketiga-tiga pencapaian ini, iaitu prestasi dividen, lonjakan prestasi Simpanan Shariah dan peningkatan ketara caruman sukarela, adalah petanda penting bahawa ekonomi negara semakin kukuh,” ujarnya.

Amir Hamzah berkata, prestasi memberangsangkan KWSP turut dipacu oleh dasar pro-pertumbuhan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan pelaburan dalam infrastruktur dan langkah fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI bagi merangsang keyakinan perniagaan serta menyokong sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan teknologi.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini