Tumpuan :
Nasional

Dividen KWSP: Prestasi menggalakkan, mungkin ada berita baik – Amir Hamzah

Amir Hamzah ditemui di program Larian ASEAN di Dataran Wawasan di Putrajaya hari ini.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi bayangan terdapat perkembangan positif berhubung pengumuman dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, perkara itu dilihat berdasarkan prestasi yang memberangsangkan daripada KWSP dengan pencapaian yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Kalau kita tengok prestasi sehingga suku ketiga tahun lalu dia menggalakkan dapat RM57.5 bilion, lebih baik dari tahun sebelumnya jadi Insya-Allah la.

“Prestasi ini jika berterusan hingga ke suku keempat Insya-Allah dividen ini akan merangsangkan tetapi saya tak boleh komen lah apa dividen dia. Tunggu EPF keluar kenyataan rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Larian ASEAN di Dataran Wawasan di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, faktor ekonomi dan situasi bursa saham Malaysia juga katanya antara faktor kemungkinan itu boleh berlaku.

Peningkatan bursa saham yang terbaik dalam Asia katanya mampu memberikan petanda positif berhubung pengumuman dividen KWSP.

Sebelum ini, beberapa pakar ekonomi menyatakan kemungkinan dividen tahun lalu melebihi 6 peratus adalah tinggi, berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024.

Ia termasuk kedudukan aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi tahun ini termasuk bursa Malaysia yang membantu memberikan pulangan pelaburan yang baik kepada KWSP.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini