KUALA LUMPUR: Tiga individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam penjualan minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan (ATF) tiruan dalam serbuan berasingan di Lembah Klang, minggu lalu.
Ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu ditahan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menjalankan serbuan pada jam 11 pagi, 5 November lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, pasukannya menyerbu tiga premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor secara serentak susulan aduan awam berhubung aktiviti berkenaan.
“Hasil maklumat awal, kesemua premis itu menjalankan perniagaan menjual dan mengedar minyak pelincir serta ATF jenama terkenal yang disyaki tiruan.
“Modus operandi ketiga-tiga premis ini adalah dengan mengedar barangan terbabit untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan turut menjual secara dalam talian kepada pengguna melalui platform e-dagang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azman berkata, dalam serbuan itu, pasukannya menahan tiga lelaki tempatan mengaku bertanggungjawab ke atas premis berkenaan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas 3,631 unit minyak pelincir, ATF (3,605 unit), penyejuk radiator (710 unit) dan penapis udara kenderaan (190 unit) yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).
“Kesemua barangan dianggarkan bernilai keseluruhan RM396,469 bersama beberapa dokumen perniagaan disita bagi tujuan siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 manakala syarikat terbabit disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.