Oleh: Kumaran Rajamoney
BALING: Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan untuk membincangkan isu diskriminasi perdagangan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) di peringkat ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata persetujuan itu dicapai kerana sekatan itu bersifat kompetitif terhadap produk sawit berbanding alasan pembukaan hutan.
Katanya, “kelapa sawit yang ditanam boleh membawa pulangan selama lebih 25 tahun.
Kos kita lebih rendah berbanding minyak sayuran (soya) yang dihasilkan negara EU.
Sebab itu, kita lihat perkara ini lebih kepada diskriminasi perniagaan.
Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk bergerak bersama dalam memastikan pandangan kedua negara disertakan dalam garis panduan yang dikeluarkan dalam hal ini.”
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menambah peranan Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN akan turut menyentuh pelaksanaan European Union Deforestation Regulation (EUDR).
Seorang pegawai kanan dari EU katanya akan mengadakan lawatan ke Malaysia dan Indonesia minggu depan bagi memperincikan isu itu.
“Kita akan adakan perbincangan dengan pegawai kanan itu dan menerangkan pendirian kita.
Ini bagi memastikan setiap garis panduan yang akan dikeluarkan EU akan hanya dipatuhi selepas pandangan kita didengari.”
Lawatan ini katanya adalah susulan kunjungan misi pelaburan bersama Malaysia-Indonesia ke EU bulan lalu bagi mempertahankan industri minyak sawit.
Datuk Seri Fadillah mengetuai delegasi Malaysia manakala Indonesia diketuai Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Dr. Airlangga Hartarto.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau ladang getah disusuli sembang santai bersama 150 orang pekebun kecil dan penduduk Kampung Charok Gorok, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPK, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr. Zairossani Mohd Nor.
Malaysia dan Indonesia menguasai 85 peratus eksport minyak sawit dunia.
Manakala untuk pasaran di EU, esksport Malaysia cuma 9.4 peratus atau 1.47 juta tan.
Datuk Seri Fadillah berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mahu koloborasi lebih erat di antara kedua negara dalam menentang diskrimasi minyak sawit.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan kerja ke Malaysia baru-baru ini.