Tumpuan :
Nasional

Diskaun tol 50 peratus hanya untuk pengguna kenderaan persendirian sahaja

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, hanya ditawarkan kepada pengguna kenderaan persendirian atau kelas 1 sahaja.

Perkara itu diumumkan PLUS Malaysia malam tadi menerusi satu kenyataan ringkas menerusi akaun media sosial miliknya.

FOTO: PLUS Malaysia / Facebook

Diskaun berkenaan bermula pada jam 12.01 tengah malam tadi hingga 11.59 malam, Selasa.

“Ikuti panduan berikut untuk menikmati tawaran 50 peratus diskaun tol di Lebuhraya PLUS sempena musim perayaan ini.

“Rancang perjalanan anda dengan MyPLUS-TTA atau Aplikasi PLUS. Pandulah secara berhemah,” kata kenyataan berkenaan.

Pada Jumaat lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan bersetuju memberi diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina.

Katanya, keputusan ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet pada hari itu yang membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan berjumlah RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.

Beliau berkata, potongan tol dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari (Isnin) dan berakhir jam 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.

“Ia dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini