SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang cuba mencuri mesin basuh dari sebuah rumah di Taman Kuala Muda semalam gagal apabila ditangkap orang awam.
Kejadian yang berlaku pada pagi semalam itu turut dirakam dalam video berdurasi tiga minit 27 saat dan menjadi tular di media sosial.
Dalam rakaman tersebut, suspek dilihat datang menaiki motosikal seorang diri sebelum membuka pagar rumah dan menarik keluar sebuah mesin basuh. Namun, cubaan itu gagal apabila dia disergah penduduk setempat sebelum berjaya ditangkap.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 9.20 pagi, sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda tiba di lokasi.
Suspek kemudian dibawa ke IPD Kuala Muda dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) untuk siasatan lanjut.
“Suspek yang juga lelaki tempatan berusia 36 tahun dan beralamat di Kulim.
“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah dan tiga kes berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah kediaman penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.