KUALA LUMPUR: Kebanyakan wanita yang menjadi mangsa penipuan Love scam masih bujang dan ibu tunggal.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kajian dilakukan jabatan ini mendapati daripada 7,548 kes yang direkodkan, 82.8 peratus atau 6,257 mangsa adalah wanita.
Manakala bakinya iaitu 1,297 kes membabitkan mangsa lelaki, namun angka itu katanya mungkin lebih daripada itu, kerana tidak dilaporkan.
Jelas beliau, 7,548 kes yang dilaporkan membabitkan nilai kerugian lebih RM382 juta dalam tempoh lima tahun ini.
“Kebanyakan wanita yang menjadi mangsa ini masih bujang dan ibu tunggal hanya kerana disebabkan cinta.
“Ada kes yang menjadi mangsa sehingga ditipu RM12 juta selepas mangsa mempercayai suspek namun polis percaya trend penipuan ini akan menurun menerusi kempen yang dijalankan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Trailer Filem Kesedaran Anti-Scam Oppa, di Kl Welness City, di sini, hari ini.
Ramli berkata, sebagai usaha untuk membanteras penularan kes-kes penipuan sebegini, JSJK telah melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah komersil melalui Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pada hari ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil mencipta satu lagi kelainan dalam pelaksanaan Kempen Anti Scam.
“Melalui kerjasama dengan Syarikat Dream Film Sdn Bhd, sebuah filem anti scam bertajuk “Oppa” dihasilkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Filem, Denil Choon Lin Loong berkata, filem ini menelan belanja RM1 juta tidak termasuk promosi .
“Ketika mengarah filem ini, saya turut belajar dengan pihak polis bagaimana cara betul menangkap penjenayah.
“Filem ini dijangka ditayang hujung tahun ini atau tahun depan bergantung kepada kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas),” katanya.