Tumpuan :
Nasional

Disangka hilang selepas kemalangan, polis bantuan meninggal dunia dalam semak

Keadaan motosikal yang dirempuh kereta manakala penunggangnya ditemukan meninggal dunia dalam semak di lereng bukit di Kilometer 408 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, dekat Lembah Beringin, awal pagi hari ini. – FOTO: NSTP/Ihsan Pembaca

HULU SELANGOR: Seorang penunggang motosikal yang sebelum ini disangka hilang selepas terbabit nahas di Kilometer 408 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, dekat Lembah Beringin, di sini, ditemukan meninggal dunia hari ini.

Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui dalam kawasan semak di lereng bukit kira-kira 300 meter dari motosikalnya kira-kira jam 7.50 pagi.

Difahamkan, mangsa yang bertugas sebagai polis bantuan di sebuah agensi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis menerima laporan kemalangan itu jam 6.02 pagi.

“Siasatan awal mendapati pada 11.30 semalam, sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa.

“Kereta itu kemudian terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ahmad Faizal berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke lereng bukit dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala kenderaan yang terbabit nahas ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini