KAJANG: Seorang pembantu rumah ditemui dalam keadaan lesu dengan tangannya dirantai dalam bilik air dipercayai angkara majikannya.
Mangsa wanita warga asing itu diselamatkan penduduk setempat, di Taman Tenaga di sini, pada Ahad lalu.
Seorang penduduk di Taman Tenaga yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku pada 9 malam ketika dia ke kedai runcit di kawasan perumahan berkenaan.
“Pekerja runcit itu kemudiannya memaklumkan dia terdengar jeritan seorang wanita dari arah kawasan flat berhampiran sebelum saya bergegas ke arah itu.
“Kami kemudiannya ke bunyi jeritan itu yang datang dari arah sebuah rumah di tingkat dua flat berkenaan.”Memandangkan rumah itu berkunci, kami menghubungi pihak polis untuk membuat pemeriksaan.
“Polis kemudiannya memecah pintu rumah itu dan ditemukan seorang wanita dalam keadaan dirantai dan lesu di dalam bilik air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.
“Dalam kes ini, kami berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah yang dirantai oleh sepasang suami isteri tempatan di rumah terbabit.
“Mangsa dirantai di dalam bilik air oleh pasangan berkenaan kerana disyaki mencuri barang kemas,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah.