![](https://media.buletintv3.my/2023/03/sMOliG52-pp-cms-3.jpg)
Oleh Qirana Nabilla Mohd Rashidi
KUALA LUMPUR: Kebakaran Masjid Ibnu Sina di Titiwangsa semalam dipercayai berpunca daripada panahan petir ke arah bumbung masjid lalu mengakibatkan litar pintas.
Menurut kenyataan di Facebook pengurusan masjid itu berkata, kejadian itu menyebabkan api merebak dengan cepat dan memusnahkan 90% ruangan dalam masjid tersebut.
“Maklumat daripada pihak forensik bomba melaporkan kejadian itu berpunca dari panahan petir yang kuat dan api merebak begitu cepat,” katanya.
Ekoran itu, pihak masjid berharap ahli kariah masjid tersebut untuk terus bersabar dan tabah menghadapi musibah yang ditimpa pada awal Ramadan ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pihak masjid bersetuju untuk menghentikan segala aktiviti masjid terlebih dahulu dan memilih kariah terdekat untuk menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan.
“Pihak masjid juga sedaya upaya menyediakan tempat solat yang selesa untuk jemaah dalam masa secepat mungkin.
“Pihak masjid memohon maaf diatas kesulitan ini,dan semua ini ujian daripada Allah.Marilah kita sama-sama bermuhasabah agar kejadian ini adalah ujian dan 1000 hikmah daripada Allah,” katanya lagi.
Susulan kebakaran yang berlaku semalam telah menyebabkan ahli kariah masjid berkenaan tidak sempat untuk menunaikan ibadah terawih pada malam awal Ramadan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memberitahu mereka terima panggilan kecemasan pada 7:10 petang, sebelum tiba di tempat kejadian pada 7:17 malam.
Anggaran jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.