Tumpuan :
Dunia Seni

Din Lela meninggal dunia akibat semput

Allahyarham Din Lela meninggal dunia jam 2.25 pagi tadi di Hospital Melaka akibat semput.

KUALA LUMPUR: Jenazah pemain gitar Kumpulan Lela, Allahyarham Mohamad Salehuddin Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kemang, Kampung Limbongan, Melaka selepas solat Zohor hari ini.

Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Negeri Melaka yang juga Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Tertinggi KARYAWAN Malaysia, Datuk Zainal Abu Bakar berkata, Salehuddin, 54, atau sinonim dengan panggilan Din Lela meninggal dunia jam 2.25 pagi tadi di Hospital Melaka akibat semput.

“Anaknya memberitahu, arwah mengalami sesak nafas di rumah dan dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, beliau menghembuskan nafas terakhir di Unit Kecemasan Hospital Melaka.

“Jenazah kemudian dibawa balik ke kediamannya di Kampung Kolam dan dimandi dan dikapan di Masjid Al Ehsan Kampung Limbongan.

“Solat jenazah diimamkan oleh anak bongsu yang juga anak lelaki tunggal, iaitu Muhamad Naufal Syadanish, 18,” katanya kepada Harian Metro.

Allahyarham Salehuddin meninggalkan balu dan lima cahaya mata.

Zainal berkata, dia juga mewakili KARYAWAN bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah Salehuddin.

Allahyarham Salehuddin memulakan kerjaya sebagai pemain gitar dan kemudian mengetuai kumpulan Lela yang bernaung di bawah syarikat rakaman NSR.

Antara lagu-lagu popular termasuklah Bidadari dan Sampai Bila.

Selain anggota Lela, arwah juga pernah menjadi komposer untuk Datuk Nash, Putra dan banyak lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini