ALOR SETAR: Polis masih menjalankan siasatan kes Siti Rohani Saad yang dilaporkan hilang sejak 8 November lalu.
Kehilangan wanita berusia 37 tahun itu dilaporkan kepada polis selepas hanya motosikalnya ditemui di atas tebing Sungai Titi Haji Idris di Kampung Alor Sekawan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata operasi pencarian sebelum ini dilakukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar.
“Selepas dia dilaporkan hilang, pencarian dilakukan selama tiga hari sebelum ditangguhkan selepas tiada petunjuk baharu ditemui di lokasi terbabit.
“Hanya motosikal dipercayai milik Siti Rohani ditemui, tiada penemuan mayat atau tanda-tanda dia berada di lokasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini hari ini.
Berikutan itu, katanya, polis mengambil keterangan lapan individu, termasuk ahli keluarga, majikan serta rakan-rakan wanita terbabit bagi membantu siasatan.
Syed Basri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau terjumpa wanita itu supaya menyalurkannya kepada polis untuk membantu siasatan.
“Polis sudah mengedar gambar Siti Rohani dan sesiapa yang mengenalinya seperti dalam gambar ini boleh menghubungi atau datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Siasatan dilakukan secara menyeluruh, termasuk kemungkinan kaitan dengan jenayah dan polis turut memantau jika ada transaksi pengeluaran wang tunai dari akaun wanita itu.
“Jika dia diculik, mungkin ada tuntutan, namun setakat ini pihak keluarga tidak menerima apa-apa tuntutan dari mana-mana pihak. Yang penting dia ditemui, tak kira di mana berada,” katanya.
Pada 9 November lalu, media melaporkan Siti Rohani, yang masih bujang, dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris.
Wanita berkenaan sebelum itu dikatakan keluar dari rumahnya dari Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena pada jam 6 pagi untuk ke tempat kerja di Jalan Pegawai, Alor Setar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.