comscore
Tumpuan :
Nasional

Dikir Barat ikut trend terkini

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Sebut sahaja dikir barat pasti tahu ianya persembahan kebudayaan berasal dari negeri Che Siti Wan Kembang.

Lazimnya dinyanyikan dalam dialek Kelantan, kini ia dikontemporarikan seiring zaman sesuai dengan halwa telinga terkini termasuk menggunakan lagu popular di TikTok.

Dikenali sebagai Kelab Legasi Dendang Seni, kumpulan ini aktif menghidupkan semula arena Dikir Barat di ibu negara sejak Julai tahun lalu.

Berusia dalam lingkungan 40-an, menariknya ahli kumpulan seramai 35 orang ini bukanlah anak kelahiran negeri Kelantan sebaliknya majoriti mereka berasal dari sekitar Lembah Klang.

Menurut Presidennya, Azlinda Rosli, bagi memastikan seni muzikal rakyat itu tidak terpinggir, muzik yang menjadi cita rasa anak muda diketengahkan termasuk tidak hanya mengehadkan penyampaian dalam dialek Kelantan.

“Memang sukar sebenarnya untuk menaikkan semua satu warisan yang dah lama agak menyepi lagi-lagi di kawasan bandar…untuk itu kami mendekati masyarakat secara santai dengan mempersembahkan dikir barat secara kontemperari.”

“Kami bawa pelbagai lagi tidak hanya bahasa Kelantan tetapi bahasa Jawa, Sunda dan Hindustan malah kalau ada musim perayaan lagu mewakili bangsa yang ada di Malaysia ini pun kami sampaikan,” katanya kepada Buletin TV9.

Setiap kali persembahan, lagu Lemak Manis, Runtah..Sayang I love You serta Kacang Ketot antara lagu pilihan yang dipersembahkan kumpulan ini.

Tidak menganggap konsep memodenkannya sebagai ‘pembunuh’ seni warisan dikir barat asli, Azlinda berkata dikir barat asli atau moden kedua-duanya mempunyai peminat tersendiri.

Beliau menambah secara asasnya, persembahan dikir barat yang dipersembahkan masih lagi sama dan tiada apa-apa pun yang terjejas.

Terutamanya dari segi persembahan elemen seperti awak-awak, tukang karut dan pantun yang digunakan serta masih lagi mengikut acuan tradisional.

“Kami sudah membuat kaji selidik termasuk bertanya kepada pakar dikir barat sama ada boleh atau tidak dikir barat ini dikontemporarikan, memang tidak ada halangan selagi masih mengekalkan keaslian muzik dan persembahannya.

Mengadakan persembahan setiap hujung minggu di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

Kumpulan ini juga tidak lokek menurunkan ilmu dikir barat mereka kepada pengunjung serta yang berminat menyertai mereka.

Loading...
Terkini