comscore
Tumpuan :
Nasional

Dikejutkan dengan kehadiran ‘tetamu’ tidak diundang ketika makan malam

Anggota bomba cuba menangkap ular tedung senduk yang bersembunyi di balik rak peralatan memasak di sebuah rumah penduduk di Kampung Chong. – FOTO: NSTP

SIK: Sebuah keluarga di Kampung Chong, di sini cemas apabila terdengar bunyi dengusan di sebalik peralatan memasak di belakang almari sebelum menyedari kehadiran ular tedung senduk ketika hendak menikmati makan malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, keluarga terbabit kemudian menghubungi pihaknya untuk membantu menangkap ular berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.05 malam dan sepasukan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan a/l Prak Prem Keu bersama enam anggota tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, reptilia itu didapati masih berada di situ dan anggota kami melakukan operasi dengan berhati-hati kerana ular itu cuba menyembur bisanya.

“Ular tedung senduk itu juga bertindak agresif ketika anggota kami hendak menangkapnya.

“Bagaimanapun reptilia itu akhirnya berjaya ditangkap menggunakan penjerut yang mengambil masa kira-kira lima minit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, ular tedung senduk sepanjang 1.5 meter itu adalah spesis yang berbahaya dan jika terkena patukannya boleh mengundang maut.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika cuaca panas pada waktu ini kerana ia mengundang kehadiran ular untuk ‘menumpang’ di rumah penduduk.

“Reptilia ini bisanya mencari tempat sejuk seperti bilik air, alang rumah, rak dapur, bilik tidur, bawah katil dan bawah kusyen untuk berlindung.

“Selain itu, reptilia ini juga turut mencari sumber makanan dan jika sekiranya rasa terancam, ia akan menyerang dengan mematuk dan mengeluarkan bisa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini