comscore
Tumpuan :
Nasional

Dihanyutkan arus ketika menyelam di Terumbu Kili

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

PULAU REDANG: Dihanyutkan arus kuat di dasar laut sehingga ditolak ke laut atau diluar kawasan selaman menjadi pengalaman baharu kepada 16 penyelam skuba dari Kelab Skuba Media Prima Berhad (KSMPB).

 

Berpegang kepada taktikal ‘menyelam dengan selamat’ sepanjang 50 minit di dasar laut, menjadikan penyelam lebih peka serta berdisiplin ketika berdepan situasi itu.

Laut sedikit bergelora, 16 penyelam dibawa merasai pengalaman menyelam di Terumbu Kili.

Terumbu kili merupakan kawasan selaman yang berada di hujung selatan tapak selaman Pulau Pinang dan sering dikatakan sebagai salah satu tapak menyelam yang terbaik di Pulau Redang.

Kawasan selamannya berbatu dipenuhi dengan terumbu karang mengundang rasa teruja penyelam untuk melihat keindahan di dasar laut.

Antara spesies marin yang berada di sini termasuk barakuda, fusilier, jack, obor-obor, kakap, ikan ekor kuning, dan jerung blacktip.

Tebing-tebing di cerun pula diliputi dengan taman karang yang terdiri aripada kipas laut, karang lembut dan cambuk laut.

Para penyelam juga berpeluang bertemu dengan penyu karah di tapak ini.

Bagaimanapun, batuan di Terumbu Kili agak bercerun berkedalaman kira-kira 25 meter.

Sebelum menyelam, penyelam sudah diberitahu oleh penyelam profesional lain bersabit arus deras di kawasan selaman itu.

Nur Amin Rashidi, 27 tahun berkata, untuk menyelam di Terumbu Kili memerlukan stamina dan rehat yang cukup.

“Ini pengalaman pertama saya berdepan detik cemas ditolak arus yang kuat sehingga hampir terkeluar dari tapak selaman. Pengalaman berpaut pada batu dan dilanggar arus menyebabkan badan berasa sangat penat dan letih.

“Sokongan moral penyelam lain dan turut membantu saya ketika tidak berdaya melawan arus itu satu pengalaman baharu sebagai penyelam skuba,” ujarnya.

Menurut Mohamad Hasrul Mohamad Rahim, 27 tahun, pengalaman itu tidak akan dilupa.

“Terumbu karang dan hidupan marin di sini sangat cantik. Selepas 20 minit menikmati keindahan dasar laut, tiba-tiba kami dihanyutkan arus. Tidak puas rasanya berada di tapak selaman ini”.

Bagaimanapun, 16 penyelam KSMPB sempat menjalankan tanggungjawab sosial sepertimana dirancang mengutip sampah terutama plastik yang hanyut di tapak selaman.

Menurut Setiausaha kelab, Salmi Ahmad, 38 tahun berkata, selepas Aidilfitri akan datang KSMPB bercadang untuk berkolaborasi dengan kelab skuba lain untuk projek memberish kawasan pantai dan tapak selaman.

“Aktiviti seperti ini dapat mengeratkan silaturahim di antara kami sebagai kakitangan di Media Prima. Sebelum ini kami tidak pernah berjumpa kerana diantara mereka bekerja di lain-lain bahagian. Jadi KSMPB berjaya mengumpul kakitangan yang mempunyai minta yang sama iaitu menyelam”.

“Kami bercadang untuk Pulau Lang Tengah pula. Produk pelancongan di Terengganu sangat hebat dan kedatangan kami bukan sekadar untuk menyelam tetapi membantu mempromosi produk pelancongan yang terdapat di pulau peranginan di negeri ini”.

Pengisian program Kelab Skuba Media Prima Berhad (KSMPB) kali ini bukan sahaja dengan aktiviti menyelam.

KSMPB turut bekerjsama dengan pempengaruh dari ‘ohmyganung’ yang dikendali oleh Abdul Rahim Abdullah dan Mohammad Johan Arman.

Para peserta turut didedahkan dengan ilmu fotografi dan juga mengendalikan drone.

Menurut Norliza Mohd Salleh, kemahiran fotografi dan mengendalikan drone sangat berguna lebih-lebih lagi saya yang bekerja sebagai jurukamera.

“Walaupun masa sangat terhad, ilmu yang diperolehi itu sangat berguna dan bermanfaat”.

Selain aktiviti menyelam, ada juga beberapa kakitangan yang menyertai program kali ini terdiri dari bukan penyelam skuba.

Mereka turut seronok apabila dapat membuat aktiviti seperti melawat kampung Baru Pulau Redang, snorkeling di Pantai Teluk dalam, dan merakam gambar kenangan di Benting Pasir antara lokasi menarik di pulau peranginan itu.

Selain itu ada juga beberapa peristiwa yang tidak manis untuk dikenang ketika pergi dan pulang dari Pulau Redang iaitu terkandas di Muara Sungai Merang, Setiu.

Sehingga rombongan KSMPB dan pelancong lain hampir menolak bot untuk merempuhi benting pasir di Muara Sungai Merang yang sempit dan cetek.

Loading...
Terkini