comscore
Tumpuan :
Nasional

Didenda berdiri di bawah matahari terik, murid mungkin dinilai OKU

 

 

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada murid tahun lima sebuah sekolah di Ampang mendakwa anak mereka yang mengalami strok haba akibat didenda guru, kemungkinan dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU).

Menurut ibu mangsa, AD Mogahana Selvi, 35, Hospital Ampang sudah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai OKU akibat masalah kesihatan yang dialami berpunca daripada kejadian yang berlaku pada 30 April lalu.

Difahamkan kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba dialami.

“Pihak hospital juga memaklumkan kepada saya bahawa anak sudah tidak boleh belajar di sekolah biasa akibat masalah kesihatan dialaminya dan minta saya hantarnya ke sekolah khas selepas ini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Sidang media itu turut disertai suaminya, B Suresh, 40; peguam mereka, Dinesh Muthal dan Pengerusi Persatuan Pemas, S Dayalan.

Sementara itu, Dayabalan berkata dalam kejadian yang tular baru-baru ini, mangsa didenda berdiri hampir tiga jam di bawah matahari terik

Beliau yang menjadi jurucakap keluarga kanak-kanak itu berkata, murid 11 tahun itu mengadu kepalanya sakit dan matanya merah kepada ibunya semasa dijemput pulang dari sekolah.

Justeru mangsa memaklumkan dia dijemur selepas dibaling botol oleh tiga rakan sekelasnya lalu mengadukan kejadian berkenaan kepada guru.

“Kami difahamkan, guru berkenaan memanggil mangsa dan tiga lagi rakannya lalu mengarah mereka berdiri di luar kelas. Ketika itu cuaca panas.

“Bagaimanapun, tiga rakannya dipanggil masuk (kelas) tetapi mangsa masih berdiri di luar,” ujarnya.

Dalayan menambah, susulan kejadian itu, murid tahun lima itu telah diserang sawan buat pertama kali dalam hidupnya.

Dalam pada itu Dinesh pula memaklumkan beliau mewakili anak guamnya akan mengemukakan saman sivil terhadap semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini