Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Didakwa berniat jahat, Berjaya Land ambil tindakan undang-undang terhadap Sanusi

PETALING JAYA: Berjaya Land akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ekoran kenyataan yang dikeluarkannya didakwa “melulu dan berniat jahat”.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Syed Ali Shahul Hameed dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya menafikan semua tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Sanusi dalam ceramahnya, pada 2 Ogos lalu di Kedah.

Sanusi ketika Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dengan Tan Sri Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, katanya Vincent akan mendapat lebih 600 ekar tanah di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sekitar RM180 juta.

“Macam mana 600 ekar ni akan diberi percuma kepada tauke ni? Macam mana tauke ni ambil alih anak syarikat MBI 55%. Ha… ni tengah duk hangat ni, tunggu meletup,” Sanusi dipetik berkata demikian oleh lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Syed Ali turut memberi penjelasan mengenai fakta sebenar menjawab tuduhan dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

Berhubung dakwaan Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) menjual 55% saham dalam anak syarikat sepenuhnya miliknya kepada Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya, beliau berkata:

“Tiada jualan yang dikatakan seperti itu.

“Sebenarnya, sebuah syarikat tujuan khas melalui usahasama (JVCo) antara anak syarikat MBI, Landasan Lumayan Sdn Bhd (45%) dan Berjaya Hartanah Berhad (55%) yang dikenali sebagai Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) telah dibentuk untuk, antara lain, membersihkan dan membangunkan Sungai Klang,” katanya.

Mengulas dakwaan Berjaya Land atau syarikat berkaitannya diberikan 600 ekar tanah negeri Selangor bernilai RM10 bilion secara percuma, Syed Ali berkata, syarikat Berjaya Land mahupun syarikat berkaitannya tidak pernah mendapat atau diberikan tanah seperti didakwa RM10 bilion.

“Sebenarnya, hanya beberapa bidang tanah yang berjumlah seluas 103.6 ekar telah diluluskan pemilikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada JV Co/LLBSB setelah tanah-tanah tersebut didapati bersesuaian untuk pembangunan,” katanya.

Katanya, Berjaya Land adalah pihak dikehendaki mengumpulkan dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah berkenaan berdasarkan kadar pasaran.

Syed Ali juga menafikan Berjaya Land mendapatkan tanah 600 ekar itu secara percuma, termasuk dakwaan Selangor kerugian RM180 juta.

“Hanya 103.6 ekar tanah yang diluluskan pemilikan oleh kerajaan Selangor kepada JVCo/LLBSB di mana 45% saham di dalam syarikat LLBSB tersebut adalah dipegang dan dimiliki oleh anak syarikat MBI,” katanya lagi.

Beliau berkata, secara kesimpulannya, tuduhan palsu yang dibuat Sanusi jelas sama sekali tidak berasas dan tanpa pengesahan mengenai kebenaran.

“Kenyataan-kenyataan ini dibuat secara melulu dan berniat jahat dan jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi Berjaya Land dan merosakkan komitmen kami serta kerajaan negeri terhadap peningkatan Selangor dan rakyatnya,” katanya.

Loading...
Terkini