KUALA LUMPUR: ‘Mereka baharu sahaja meraikan perkhabaran dapat semula sedikit tanah sebelum dikejutkan dengan bedilan demi bedilan’.
Menurut Nurul Ain Haron, rakyat Malaysia yang terkandas di Gaza beliau tidak menyangka nalurinya yang terdetik ada pihak tidak gembira dengan perkhabaran itu akan melakukan sesuatu ternyata benar.
“Sehari sebelum peperangan berlaku ketika itu saya di rumah kakak ipar saya tidak faham apa mereka (rakyat gaza) sedang raikan.
“Saya kejut suami saya yang sedang tidur sebelum dia maklumkan kepada saya bahawa orang ramai memanjatkan kesyukuran dapat kembali sedikit tanah negara mereka,” kongsinya dalam satu temubual bersama Bernama Radio.
Dalam berkongsi kegembiraan itu, menurut Nurul Ain hatinya terdetik ada pihak mungkin tidak berpuas hati dengan berita itu.
“Dalam hati saya terdetik kemungkinan besar mesti mereka (zionis) akan balas balik.
“Jadi betul lah apa yang hati saya rasa dan selepas itu memang nyawa dihujung tanduk bom jatuh merata-rata, ujarnya.
Nurul Ain dan suaminya, Mohamed A M Shaat, seorang warga Palestin selamat tiba ke tanah air kelmarin.
Pasangan itu tiba di KLIA pada jam 8. 55 malam disambut ahli keluarga serta pegawai dari Wisma Putra.
Sementara itu, bapa Nurul Ain, Haron Hamim, 65 memberitahu media bahawa anaknya itu masih dalam keadaan trauma serta memilih tidur di ruang tamu kerana ketakutan.
Beliau bimbang dengan keadaan anaknya dan berharap ada bantuan kaunseling yang dapat membantu.