KUALA LUMPUR: Aktres Diana Danielle sanggup menggugurkan tuntutan nafkah tertunggak daripada suaminya, Farid Kamil sekiranya aktor itu bersetuju melepaskannya.
Bagaimanapun, Diana berkata, buat masa ini, dia akan meneruskan dengan tuntutan berkenaan kerana Farid dilihat tidak memberi kerjasama dalam urusan permohonan perceraian.
“Tindakan seterusnya, saya memutuskan untuk tuntutan nafkah kerana apabila dia memanjang dan memberatkan isu, saya rasa peluang yang saya berikan hanya sia-sia.
“Tuntutan ini adalah nafkah tertunggak bertahun-tahun lalu. Bagi saya, tak perlu saya nak beritahu secara terperinci, cuma kekecewaan ini, saya akan luahkan dengan cara sepatutnya.
“Apa yang terlalu peribadi, biarlah kekal menjadi hal peribadi. Kalau dia lepaskan, saya akan gugurkan perkara ini,” katanya ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini selepas prosiding kes permohonan perceraian, hari ini.
Pagi tadi, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini memerintahkan Farid dan Diana melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin memerintahkan demikian susulan keengganan Farid melafazkan cerai terhadap Diana pada prosiding kes permohonan perceraian mereka.
Sementara itu, Diana menyifatkan tindakan Farid yang enggan melepaskannya pada prosiding kes permohonan perceraian mereka, hari ini sebagai menzalimi dirinya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.