![](https://media.buletintv3.my/2023/09/Mkacom0S-BULETIN-TV3-1.jpg)
PORT DICKSON: “Dia adalah murid paling awal datang ke sekolah setiap hari. Pasti kehilangannya sangat dirasai,” kata guru Pasti AI-Hassan, Kamisah Abu Bakar, 44.
Muhammad Shaheizy Iman Muhammad, 4, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bersama bapa terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 16 Jalan Sua Betong- Air Kuning di sini, Khamis lalu.
Kamisah berkata, arwah Muhammad Shaheizy Iman adalah murid yang pendiam.
“Baru-baru ini sempena bulan kemerdekaan pihak sekolah menganjurkan Hari Kemerdekaan dan arwah menang kategori Pakaian Terbaik bagi lelaki,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sua Betong.
Menurutnya, arwah memang jarang bercakap kecuali bila ditanya namun dia antara pelajar yang rajin ketika di sekolah.
“Saya hanya dapat tahu kejadian selepas membuka telefon bimbit sebaik baterinya penuh namun terkejut apabila melihat deretan Whatsapp mengatakan kejadian yang menimpa arwah.
“Sebaik dapat pengesahan dari ibu arwah apa yang berlaku, saya terus bergerak ke Bilik Mayat Hospital Port Dickson melihat keadaan jenazah arwah yang tidak banyak kecederaan luar tubuhnya,” katanya.
Kamisah berkata, dia berharap agar keluarga arwah diberi keadilan yang setimpal atas perkara yang sudah berlaku.
“Murid sekolah Pasti AI-Hassan, Taman Desa PD tidaklah ramai, sekitar 13 pelajar dan kehilangan arwah pasti dirasai.
“Saya berharap agar keluarga arwah tabah hadapi dugaan ini walaupun agak pahit untuk ditelan kerana kehilangan anak sulung mereka,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial dakwaan bahawa kemalangan berlaku disebabkan kereta yang terlibat berlumba sebelum merempuh sebuah motosikal di hadapannya.
Artikel berkaitan: Kemalangan babitkan kanak-kanak pulang dari tadika, polis reman warga Singapura
Pemandu kereta seorang lelaki warga Singapura yang dipercayai terbabit kemalangan hingga menyebabkan seorang kanak-kanak tadika maut dalam kejadian itu.
Lelaki terbabit telah direman selama tiga hari bermula semalam dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.