comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “Dia gugur sebagai perajurit” – Bapa

 

NILAI: Pemergian yang membanggakan!

Demikian luahan hati seorang bapa Masdi Md Isa, 57 yang kehilangan anak lelakinya Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal akibat terkena bom lempar ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, dekat Tampin, semalam.

Masdi menyifatkan anaknya gugur sebagai seorang perajurit.

Masdi Md Isa, 57, berkata, dia berbangga dengan Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, yang sudah melaksanakan amanatnya sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

@buletintv3

Pemergian yang membanggakan! Demikian luahan hati seorang bapa Masdi Md Isa, 57 yang kehilangan anak lelakinya Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal akibat terkena bom lempar ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin #beritaditiktok #buletintv3 #tudm

♬ original sound – BuletinTV3 – BuletinTV3

“Meskipun dia terkorban ketika menjalani latihan, saya bangga dengan arwah kerana sudah menjalankan tanggungjawabnya kepada angkatan (pasukan) dengan menurut perintah menjalani latihan.

“Saya anggapnya sebagai wira, saya bangga dengannya. Sudah takdirnya terkorban ketika menjalani latihan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Rawa Hulu, dekat Lenggeng, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (INSTAR) maut selepas dipercayai terkena bom lempar yang dikatakan meletup ketika latihan.

Masdi berkata, dia akur dengan ketentuan itu dan tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam insiden bom lempar yang dikatakan meletup ketika latihan menembak dan bom lempar, tengah hari semalam.

“Saya pasrah dan terima seadanya. Sudah ditentukan tuhan, malah saya bersyukur kerana dia sudah berjuang hingga ke nafas terakhir.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh anggota serta pegawai yang terbabit kerana menunaikan permintaan saya sepanjang proses pengebumian, ia memudahkan saya,” katanya.

Jenazah Allahyarham dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawa, di sini, selepas solat Asar.

Masdi juga menyifatkan anak ketiga daripada enam beradik itu seorang yang mesra dengan keluarga dan tidak banyak kerenah selain mempunyai hubungan baik dengan pelatih lain.

“Daripada apa yang saya tengok dia memang seronok menyertai TUDM. Saya dengan dia atau anak lain seperti kawan, jika ada apa-apa masalah dia akan bercerita kepada saya.

“Kali terakhir saya jumpanya minggu lalu ketika dia pulang ke rumah. Sebelum dia pulang ke kem, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda aneh dan kami sempat berpelukan.

“Bagaimanapun, dua tiga hari sebelum kejadian, dia ada hantar satu rakaman video mukanya. Namun, saya perasan riak wajahnya seperti sayu, bagaimanapun saya tidak berfikir yang bukan-bukan,” katanya yang kini bekerja kampung.

Masdi juga sempat meminta seluruh rakyat Malaysia supaya menitipkan doa kepada anaknya itu semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan dipermudahkan urusan.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawa kira-kira 5.30 petang tadi dengan penuh istiadat ketenteraan.

Loading...
Terkini