comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Dia ajak saya dan ibunya bergambar bersama’ – Bapa Khairil Anwar

AMPANG: “Anak jarang mahu bergambar dan hari itu ketika saya dan isteri (Normah Mohamed Nor, 52) menghantarnya pulang ke kampus arwah mahu bergambar dan itu gambar terakhir kami bersama,” kata Jamaludin Hussin.

Jamaludin, 53, adalah bapa kepada Khairil Anwar, 20, seorang daripada tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan di Kampung Sura Hujung, Dungun di Terengganu, malam tadi.

Jamaludin berkata, gambar bersama isteri dan Allahyarham Khairil Anwar yang juga anak bongsu daripada lima beradik menjadi kenangan terakhirnya bersama anak kesayangannya.

Menurutnya, gambar berkenaan dirakam ketika dia dan isteri, menghantar Khairil Anwar yang mesra disapa ‘Adik’ pulang ke kampus pada Sabtu lalu untuk pengajian semester ketiganya.

“Anak tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tiada cakap apa-apa tetapi terakhir itu dia mahu bergambar. Sebelum ini arwah jarang (ajak) bergambar, kalau nak pun kadang-kadang dia beritahu (untuk bergambar bersama).

“Ketika itu saya dengan isteri saja (bergambar bersama Khairil Anwar). Kami bergambar bertiga sebab kakak-kakaknya bekerja tak boleh pergi (menghantar arwah pulang ke kampus),” katanya.

Jamaludin ditemui pemberita selepas urusan pengebumian Allahyarham Khairil Anwar di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Katanya, dia bersyukur semua urusan pengebumian Khairil Anwar berjalan lancar dan menghargai bantuan semua pihak terutama UiTM yang membantu serta menguruskan urusan Allahyarham anaknya dari Dungun hingga ke Selangor.

“Alhamdulillah urusan anak sudah selesai dan arwah anak yang baik, tidak pernah membangkang kata kami dan manja terutama dengan ibunya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut, manakala seorang parah selepas terbabit kemalangan di hadapan universiti berkenaan malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam, empat pelajar menunggang dua motosikal dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu seorang wanita.

Selain Khairil Anwar, dua lagi yang terkorban adalah Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.

Manakala seorang rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, parah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini