Oleh: Hilmi Abdul Malik
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kesemua Ahli Parlimen kerajaan untuk menjaga aspek kehadiran sepanjang tempoh Dewan Rakyat bersidang.
Perkara itu dikongsikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Selain itu katanya, Perdana Menteri turut menggesa kesemua Ahli Parlimen agar menjaga kualiti perbahasan serta mempunyai asas.
“Biasa sahajalah, lebih kepada kehadiran… dia (Anwar) ingatkan jaga korum dan perbahasan.
“Baguslah dia (Anwar) nasihat kehadiran yang penting. Perbahasan mestilah yang terbaik dan berasas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Alexander turut memberitahu, Perdana Menteri turut meminta kesemua Ahli Parlimen agar memelihara tingkah laku sepanjang persidangan Dewan Dakyat.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut dihubungi hari ini juga memaklumkan tentang gesaan Perdana Menteri untuk terus memperjuangkan isu rakyat.
Ini termasuk mengangkat segala permasalahan yang berbangkit melibatkan kawasan setiap Ahli Parlimen.
Terdahulu, kesemua Ahli Parlimen mengadakan pertemuan kira-kira tiga jam menerusi sesi pra majlis sidang Dewan Rakyat di Seri Perdana yang bermula jam 10 pagi tadi.
Dalam pada itu, Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 esok juga bakal menjadi tumpuan berkenaan titah sulung Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas dilantik memegang jawatan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.