Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat: Pindaan RUU Ordinan Buruh Sabah lulus sebulat suara 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim. – Foto fail

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 (RUU OBS) diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata beberapa pindaan penting dilakukan terhadap Ordinan Buruh Sabah termasuk pelanjutan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari.

“Mereka semua hadir untuk mengikuti perbahasan RUU OBS ini yang merupakan satu detik bersejarah sebab ini merupakan kali pertama selepas 20 tahun RUU OBS ataupun Ordinan Buruh Sabah dipinda dan diselaraskan sepenuhnya dengan Akta Kerja 1955 yang merupakan undang-undang pemburuhan di Semenanjung.

“Jadi saya ingin ucapkan terima kasihlah kepada semua ahli-ahli parlimen dalam Dewan Rakyat yang telah sebulat suara meluluskan RUU OBS.

“Ini merupakan satu peristiwa bersejarah yang saya katakan sebab kita telah menyeragamkan hak 2.083 juta orang pekerja di Sabah dengan hak yang ada dalam akta kerja selama ini.” Katanya dalam satu sidang media selepas membentangkan RUU berkenaan di Dewan Rakyat.

Selain pelanjutan cuti bersalin, satu lagi pindaan penting melibatkan had gaji pekerja yang layak menerima bayaran untuk kerja lebih masa, bekerja pada cuti umum, dan hari rehat.

Pindaan ini menghadkan kelayakan tersebut kepada pekerja yang bergaji di bawah RM4,000 sebulan berbanding di bawah RM2001 sebulan.

RUU OBS dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 17 Julai 2024 di Dewan Rakyat semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-15.

Pindaan ini merupakan kali kedua dilakukan, hampir dua dekad selepas pindaan terakhir pada tahun 2005. Pada hari ini, Kerajaan telah berjaya membentangkan RUU OBS untuk bacaan kali kedua dan ketiga, menunjukkan usaha berterusan dalam menambah baik perlindungan pekerja di Sabah, khususnya wanita yang bekerja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini