Oleh: Syafiqah Damanhuri & Rusyadi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara Asia Tengah seperti Republik Kyrgyz, Kazakhstan dan juga Uzbekistan pada Mei lalu merupakan satu penghormatan kepada negara.
Ia selepas penerimaan pemimpin ketiga-tiga negara itu menyambut dengan tangan terbuka dan menganggap Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ini termasuk penawaran mereka untuk meneroka bersama bidang perdagangan dalam sektor bahan galian, petroleum dan gas.
“Mereka menjemput kita, menjemput ahli-ahli perniagaan yang ada kemahiran, kemampuan untuk menjadi syarikat yang boleh teroka bidang peluang perdagangan melibatkan bahan galian yang amat banyak jumlahnya.
“Mereka boleh menerokai kawasan tersebut. Ini peluang untuk kita tingkatkan dagangan kita dengan negara-negara ini.
“Manakala, usahawan juga boleh pergi ke sana dan menjadi peneroka negara yang banyak hasil galian,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan di Dewan Rakyat.
Jelasnya, selain ekonomi perbincangan dua hala turut dilakukan mengenai sektor pendidikan.
Negara Uzbekistan dan Kazakhstan turut menyatakan hasrat untuk belajar dari Malaysia cara untuk bersama-sama membangunkan negara yang baru merdeka.
Manakala di Republik Kyrgyz, Kementerian Luar juga bakal menghantar seorang penasihat untuk membantu merancang ekonomi pembangunan di negara itu dapat dilaksanakan segera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.