Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat lulus Pindaan Kanun Keseksaan tangani buli siber

 

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2024 antaranya bertujuan menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah termasuk dalam talian.

Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Azalina ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pindaan berkenaan tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara tetapi berfungsi sebagai mekanisme mencegah gangguan dan melindungi masyarakat terutamanya kanak-kanak.

“Pindaan ini bukan sekadar untuk menghukum tetapi juga mendidik, melindungi dan mencegah, dan ia adalah langkah penting ke arah membina sebuah masyarakat yang lebih beradab dan menghormati maruah setiap individu,” katanya.

Beliau berkata melalui pindaan berkenaan, kerajaan memberikan beberapa pendekatan supaya kelompongan undang-undang dapat diatasi antaranya Kanun Keseksaan (Akta 574) yang tidak mempunyai peruntukan khusus terhadap buli dan buli siber.

RUU itu antara lain mencadangkan subseksyen baharu 507D (2) bertujuan menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang dalam apa-apa cara yang menggunakan perkataan atau komunikasi mengugut, menghina atau mencela dengan niat memprovokasi seseorang dan menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau kepada orang lain.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Subseksyen itu juga memperuntukkan bahawa jika orang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan dicadangkan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2024 yang bertujuan memastikan keselarasan dengan pindaan Kanun Keseksaan.

Ia antara lain memperuntukkan kesalahan penetapan berkaitan keperluan waran tangkap, tempoh pengeluaran waran atau saman, ketetapan kesalahan boleh dijamin atau tidak, ketetapan kompaun dan hukuman maksimum bagi setiap kesalahan berkait jenayah buli.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini