Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat: KPKM fokus pengeluaran komoditi asas, kurangkan kebergantungan sumber import

Foto hiasan

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memfokuskan kepada pengeluaran komoditi asas, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber pertanian import selain meningkatkan jaminan sekuriti bekalan makanan negara.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, pelbagai inisiatif jangka masa pendek dan jangka masa panjang dilaksanakan oleh KPKM.

“Pertama, perluasan penternakan secara fidlot dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan lembu pedaging untuk mencapai Nisbah Sara Diri (SSR) sebanyak 50 peratus pada 2030 seperti yang dinyatakan di dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0).

“Selain itu, pelbagai strategi turut dirangka daripada aspek pengeluaran termasuk memantapkan pusat kuarantin swasta untuk menampung tambahan import lembu hidup serta mengenal pasti pemain industri yang berkebolehan tinggi untuk diperkembang ke satu tahap yang lebih baik,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Noraini Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, dalam konteks sekuriti makanan, KPKM memantau status bekalan lapan komoditi makanan utama negara iaitu beras, daging ayam, telur ayam, daging lembu, susu segar, sayur, buah dan ikan makanan (edible fish).

Katanya, SSR yang dicatatkan bagi 8 komoditi makanan utama tersebut pada 2021, iaitu beras (65%), daging ayam (99.9%), telur ayam (114.4), daging lembu atau kerbau (18.9%), susu segar (56.7%), sayur-sayuran (46.7%), buah-buahan (77.4%) dan ikan makanan (91.7%).

Tambahnya, KPKM turut memperkukuhan industri input pertanian domestik secara bersasar untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber import yang mempengaruhi kos pengeluaran dan kenaikan harga makanan.

“Pertama, menghasilkan pengeluaran jagung bijian sebanyak 600,000 tan metrik yang dapat mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ternakan sebanyak 30 peratus menjelang 2032.

“Program dan inisiatif dirangka melalui pengukuhan Program Pembangunan Jagung Bijian Negara.

“Kedua, membangunkan bahan makanan ternakan alternatif seperti Black Soldier Fly (BSF), Palm Kernel Expeller (PKE), Palm Kernel Cake (PKC) dan memperkasa industri benih tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada import input pertanian,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, keterjaminan makanan boleh dipenuhi melalui pengeluaran tempatan atau sumber import

Tambah beliau, sumber import masih diperlukan kerana terdapat komoditi makanan yang tidak dapat dihasilkan secara domestik disebabkan oleh faktor kesesuaian iklim, tidak ekonomik, kekangan sumber tanah dan tenaga kerja.

Loading...
Terkini