comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat: Kenaikan had nilai kerja kontraktor di bawah kuasa Kementerian Kewangan

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Had nilai kerja bagi perolehan kerajaan, kontraktor tempatan Gred G1 dan G2 masih tertakluk kepada Pekeliling Perbendaharaan (P-K) 2.1.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata bagi sebarang kenaikan Had Nilai Kerja perolehan kerajaan ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Pencerahan itu dibuat bagi mengulas mengenai sekiranya kementerian mempunyai cadangan menaikkan had nilai kerja bagi kontraktor G1 daripada RM200,000 kepada RM250,000 atau RM300,000.

Manakala G2 dinaikkan kepada RM600,000 memandangkan harga barang yang semakin meningkat.

“Bagi perolehan kerja-kerja kecil atau pembaikan yang tidak mengubah struktur asal dan yang tidak mempunyai Jadual Kadar Kejuruteraan Awam yang bernilai melebihi RM20,000 hingga RM500,000 hendaklah dipelawa sekiranya perolehan bernilai melebihi RM20,000 hingga RM200,000 kepada sekurang-kurangnya lima  kontraktor tempatan atau daerah Gred G1 yang berdaftar dengan CIDB dan mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) mengikut kategori dan pengkhususan yang berkenaan.

“Manakala Perolehan bernilai melebihi 200,000 dan RM500,000 hendaklah dipelawa di kalangan sekurang-kurangnya lima kontraktor tempatan Gred G2 yang berdaftar dengan CIDB dan mempunyai SPKK mengikut kategori dan pengkhususan yang berkenaan,”katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan kepada Pekeliling PK1.5 yang berkuatkuasa pindaan pada 10 April 2023 menyatakan Nilai Had Keupayaan Melaksanakan atau Menjalankan Kerja Pembinaan bagi Gred Pendaftaran G1 ini telah ditingkatkan kepada ‘tidak melebihi RM200,000’ bagi Perolehan Kerja Kerajaan mengikut keperluan industri.

“Berdasarkan rekod CIDB, isu dan permintaan untuk menaikkan Nilai Had Keupayaan Melaksanakan Kerja ini adalah berkait dengan perolehan projek kerajaan bagi sektor awam sahaja dan tiada lagi permintaan untuk menyemak semula Nilai Had Keupayaan Melaksanakan Kerja di sektor swasta.

“Walau bagaimanapun, untuk sebarang kenaikan Had Nilai Kerja bagi perolehan kerajaan untuk kontraktor tempatan G1 dan G2 adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan sepenuhnya.

“Justeru KKR sedang memperhalusi perkara ini bersama Kementerian Kewangan untuk terus memperkasa industri pembinaan di negara ini,”katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini