
KUALA LUMPUR: Selepas bersidang selama 18 hari, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 melabuhkan tirainya dengan menyaksikan 10 rang undang-undang diluluskan Dewan Rakyat.
Antara RUU berkenaan ialah RUU Majlis Media Malaysia 2024; RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025; RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menerusi pemaklumannya berkata, persidangan sama turut meluluskan beberapa usul, termasuk usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025, selain tiga sesi penerangan menteri turut diadakan.
“Mesyuarat kali ini, menyaksikan sejarah baharu bagi institusi legislatif ini apabila RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan.
“Penggubalan RUU baharu ini dapat memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara badan Eksekutif dan Legislatif, memberikan autonomi kepada Parlimen untuk menentukan hala tuju legislatif secara tersendiri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Johari berkata, tonggak legislatif, Parlimen Malaysia yang juga Pengerusi ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) akan terbabit secara langsung dengan lima program tahun ini.
Program berkenaan ialah Mesyuarat Agung AIPA Ke-46; Perhimpunan Antara Ahli Parlimen Wanita ASEAN (WAIPA); Meeting of Young Parliamentarians of ASEAN InterParliamentary Assembly; ASEAN-AIPA Leaders Interface Meeting dan 7th Meeting of the AIPA Advisory Council on Dangerous Drug.
“Saya mengharapkan ahli Yang Berhormat menggarap ruang dan peluang tersedia untuk memperoleh pengalaman baharu dan dapat berkongsi pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik serta mencari penyelesaian bersama-sama rakan serantau dalam menangani cabaran serantau dan global,” katanya.
Mengulas lanjut, Johari dan timbalannya berterima kasih kepada semua ahli Dewan Rakyat yang memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan majlis mesyuarat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan, antara 3 Februari hingga hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.