comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat: 2 pindaan akta, tangani penipuan dalam talian dibentang sidang Parlimen kali ini

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Dua pindaan akta iaitu Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dijangka dibentangkan pada sesi parlimen kali ini selepas mendapat kelulusan jemaah menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata menerusi dua pindaan itu, jenayah penipuan dalam talian berkaitan keldai akaun akan dapat dibanteras secara komprehensif dan lebih berkesan.

“Cadangan pindaan yg sedang dipertimbangkan akan melibatkan kewujudan kesalahan baru yang berkaitan dengan tindakan mana-mana pihak yang membenarkan akaun mereka digunakan orang lain atau kuasa yg sah bagi tujuan yang sah untuk menangani isu akaun keldai”

“Serta memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk mengarahkan permintaan akaun bank disyaki terlibat dengan jenayah siber. ”

Beliau berkata demikian ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri dan menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang ingin tahu status penggubalan perundangan berkenaan akaun mule atau keldai akaun dalam menangani peningkatan penipuan kewangan secara dalam talian.

Terdahulu, beliau memaklumkan, perundangan sedia ada tidak membenarkan pihak polis menyekat pergerakan wang mangsa menerusi akaun keldai yang digunakan.

Mengulas lanjut, Azalina memaklumkan, melalui pindaan itu, diwujudkan kesalahan baharu berkaitan tindakan terhadap mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan orang lain tanpa kuasa dan tujuan yang sah.

Selain itu, ia memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk menyita akaun bank disyaki terbabit jenayah siber.

Menurut beliau lagi, sebanyak RM2.651 bilion kerugian wang akibat kes penipuan direkodkan daripada 2022 sehingga Jun 2024.

“Didapati juga terdapat peningkatan kerugian secara keseluruhan sebanyak 43.20 peratus bagi tahun 2022 iaitu RM851 juta kepada RM1 bilion bagi 2023, manakala kerugian bagi 2024, RM581 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini