comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Perniagaan dan Industri Jerman sedia kongsi kepakaran dengan Majlis TVET 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK) bersetuju berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi membentuk satu kerjasama bersama Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, perkara itu dipersetujui hasil mesyuarat beliau dengan wakil dari Bosch-Haus dan DIHK ketika lawatan ke Bosch di Berlin, Jerman, semalam.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkongsian kepakaran tersebut bagi membantu kerajaan mencipta rangka tindakan unik yang disesuaikan dengan program TVET Malaysia.

“Saya percaya masa depan industri TVET adalah cerah dan kerjasama dengan institusi TVET yang mantap seperti di Jerman ini sudah pastinya akan memangkin ekosistem TVET di negara kita.

“Kejayaan pelan tindakan ini nanti akan bergantung pada dedikasi, kerjasama yang berkesan dan akses kepada perkongsian kepakaran yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mesyuarat turut bersetuju Dewan Perniagaan Jerman Malaysia akan mengetuai dalam menyelaraskan syarikat Jerman di Malaysia dan sebahagian daripada majlis penasihat khusus untuk membina ekosistem TVET Malaysia.

Selain itu, Dewan Perniagaan Jerman akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan program ‘German Dual Vocational Training’ (GDVT) melibatkan penyertaan industri Malaysia.

Usaha itu akan membantu menyelaraskan tenaga kerja mahir di negara ini bersesuaian piawaian Jerman, seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dalam lawatan rasmi sehari itu juga, Ahmad Zahid juga berpeluang menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Institut Jerman-Malaysia (GMI) dan TH Brandenburg University of Applied Sciences di universiti tersebut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini