Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024, RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024 dan RUU Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024 selepas mendapat sokongan sebulat suara semua Ahli.
Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah ketika mempengerusikan sementara persidangan hari ini.
Dalam bacaan kedua dan ketiga RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran memaklumkan RUU itu antara lain bagi memperkenalkan beberapa perubahan penting dalam meningkatkan pengawalan terhadap pengamal undang-undang di negara ini.
Ia susulan berlaku peningkatan ketara dalam bilangan peguam yang berdaftar di Malaysia.
“Statistik menunjukkan bahawa bilangan peguam telah meningkat dari sekitar 15,000 pada tahun 2012 kepada lebih 23,000 pada awal tahun 2024.
“Peningkatan ini menunjukkan keperluan untuk mengemas kini Akta 166 bagi memastikan ianya kekal relevan bagi pengamal undang-undang yang semakin meningkat jumlahnya.
“Selaras dengan itu, cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Kerajaan MADANI pada hari ini, yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 9 Disember 2024, adalah penting dalam memastikan kualiti dan taraf penyampaian perkhidmatan guaman oleh pengamal di Malaysia selaras dengan perkembangan semasa di peringkat antarabangsa selepas lapan tahun Akta ini tidak dipinda oleh Kerajaan,” jelasnya.
Turut dibentang dan diluluskan RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024 dan RUU Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.