Tumpuan :
Nasional

Dewan Negara: Permohonan pelajar asing ke UA, IPTS meningkat 5%

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal di Dewan Negara

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Setakat Oktober tahun ini, jumlah permohonan pelajar asing ke universiti awam, institusi pengajian tinggi awam dan swasta meningkat lima peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pihaknya proaktif dalam menarik minat pelajar antarabangsa ke negara ini dan komited menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

“Sehingga Jun 2023, terdapat seramai 104,315 pelajar antarabangsa di Malaysia iaitu 43,952 di universiti awam dan 60,363 di IPTS yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang dan peringkat,” katanya di Dewan Negara.

Tambah beliau, Dasar dan Pelan Tindakan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi 2023-2030 yang dibangunkan kementeriannya dijangka selesai penghujung tahun ini.

“Ia adalah selaras dengan matlamat Lonjakan 8 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf global,” jelasnya.

Mengulas mengenai Malaysia sebagai hab pendidikan serantau, Mohammad Yusof berkata, sebanyak 1,635 rekod kerjasama dicatatkan bagi UA melibatkan 76 negara melalui memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian (MoA) sebagai komitmen untuk mengantarabangsakan pendidikan negara.

Loading...
Terkini