Tumpuan :
Nasional

Dewan Negara bahas usul tergempar isu Palestin petang ini

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini membenarkan usul tergempar isu membantah dan mengecam kekejaman serta kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dibahaskan petang ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar Wan Junaidi berkata usul yang dikemukakan oleh Senator Hussin Ismail di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1) itu akan dibahaskan selama satu jam bermula 4.30 petang.

Beliau berkata pihak pencadang dibenarkan berbahas selama 10 minit, diikuti perbahasan oleh Ahli Dewan Negara yang lain sebelum pihak kerajaan mengemukakan jawapan.

Katanya bagi membolehkan perkara itu ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, beliau selaku Yang Dipertua Dewan Negara hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan itu memenuhi tiga syarat iaitu bahawa perkara itu bersifat tertentu, bagi kepentingan orang ramai, dan berkehendak disegerakan.

“Saya telah meneliti perkara ini dan mendapati bahawa perkara ini adalah perkara tertentu, ia adalah bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

“Oleh yang demikian saya membenarkan usul ini dibahaskan di dewan bermula 4.30 petang hingga 5.30 petang,” katanya dalam persidangan Dewan Negara hari ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini