comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan makan MRSM Taiping sudah ditutup – Exco

IPOH: Jabatan Kesihatan Perak mengarahkan dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping ditutup, ekoran insiden keracunan makanan yang membabitkan 62 pelajar di institusi pendidikan itu pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, dalam satu kenyataan berkata Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) menerima sebanyak 30 notifikasi kes keracunan makanan pada 30 Ogos.

“Ia diikuti 32 kes tambahan pada hari berikutnya dari Klinik Kesihatan Taiping membabitkan pelajar yang tinggal di asrama dalam MRSM Taiping.

“Siasatan awal di lapangan mendapati kesemua pelajar terbabit yang berusia di antara 16 hingga 17 tahun mempunyai sejarah makan di dewan makan MRSM Taiping dan mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening, loya, demam serta muntah,” katanya.

Jelasnya, PKD LMS telah membuat pemeriksaan premis dewan makan MRSM Taiping pada 30 Ogos 2024 jam 11.45 pagi dan mendapati bahawa tahap penilaian pada waktu itu adalah 70.11 peratus.

“Sehubungan itu, pihak PKD LMS telah mengeluarkan arahan penutupan premis dewan makan MRSM Taiping di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Pemeriksaan semula ke atas premis dewan makan MRSM Taiping telah dilakukan pada 2 September 2024 jam 3.15 petang dan mendapati bahawa tahap penilaian pada waktu itu adalah 88.51 peratus dan dibenarkan beroperasi semula dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Sivanesan berkata, sebanyak empat sampel klinikal telah diambil daripada kalangan kes yang bergejala serta dua sampel makanan dan 13 sampel pengendali juga telah diambil pada 30 Ogos untuk dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh bagi tujuan analisis.

“Pejabat kesihatan juga telah merancang untuk melakukan pemeriksaan premis terbabit secara berkala bagi memastikan pihak pengendali makanan sentiasa mematuhi prosedur pengendalian makanan yang selamat.

“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku kerana kejadian sama pernah berlaku di lokasi berkenaan pada 2018, malah laporan mengenainya kita telah hantar kepada pihak sekolah serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Semalam, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran bahawa MARA akan menyenaraihitam kontraktor makanan yang tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan dewan selera MRSM.

Beliau dilaporkan berkata, langkah tegas itu wajar diambil kerana tugasan kontraktor berkenaan membabitkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pelajar yang tidak boleh dikompromi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini