Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) menolak sebarang desakan tidak berasas untuk menggantikan Mufti Wilayah Persekutuan atau Menteri Agama semata-mata atas isu perbezaan pendekatan atau pandangan susulan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.
Setiausaha PKPU, Norzaidan Hamad berkata, usul tersebut bukan sahaja tidak berasas tetapi turut berpotensi menggugat kredibiliti institusi agama yang berperanan penting dalam membimbing masyarakat dengan kefahaman
Islam yang jelas.
“PKPU memandang serius terhadap gesaan pihak yang mengusulkan penggantian Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Agama susulan isu pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024.
“Saranan sebegini bukan sahaja tidak menghormati kepimpinan dan institusi agama yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat Islam tetapi juga berpotensi menghakis kepercayaan awam terhadap institusi agama yang menjadi rujukan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, desakan melulu terhadap Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Agama, tidak boleh diterima terutama melibatkan isu yang boleh ditangani secara lebih berhemah.
Dalam perkara melibatkan perbezaan pandangan, katanya, adalah penting bagi semua pihak untuk berlapang dada dengan melazimkan ‘Adab al-Ikhtilaf’ (adab berbeza pandangan) demi memelihara keharmonian dan mengelakkan sebarang bentuk pertentangan yang tidak diperlukan.
“Cadangan pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan telah disusun mengikut lunas undang-undang dan melalui proses pertimbangan yang teliti dengan melibatkan pakar agama serta undang-undang.
“Matlamatnya adalah untuk memperkukuhkan peranan mufti dalam menjaga kepentingan ummah dan keutuhan penghayatan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, PKPU memohon semua pihak untuk terus memberikan dukungan terhadap cadangan pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan sebagai suatu langkah strategik dalam memperkukuh institusi agama di negara ini.
Menurut Norzaidan, dengan sokongan yang padu, institusi agama dapat terus berfungsi dengan efektif, menjunjung tinggi nilai keadilan dan menjaga keharmonian masyarakat MADANI.
Terdahulu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Qur’an dan Sunnah Abdul Hamid A Abu Sulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dilaporkan menyarankan agar Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dengan lebih baik.
Malah menurutnya, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang ‘lebih baik’ dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.