comscore
Tumpuan :
Nasional

Derita Mohd Aariz Zafran hidapi penyakit paru-paru kronik

FOTO: NSTP

KUALA KEDAH: Pembantu di pelantar ikan di sini, Mohd Azlan Ishak, mengakui menghadapi masalah perbelanjaan yang tidak mencukupi apabila anak lelakinya yang berusia 11 bulan disahkan menghidap penyakit berkaitan paru-paru kronik.

Penyakit Mohd Aariz Zafran itu menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa bergantung kepada alat pernafasan sepanjang masa Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) dan perlu berulang-alik bertemu doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuala Kedah menaiki motosikal.

“Mohd Aariz dikesan menghidap paru-paru kronik, gastrik dan limpa besar ketika berusia dua bulan selepas mendapati dia bernafas laju sehingga timbul lengkuk di dada.

“Ketika itu saya membawa anak ketiga, Iman Fayruzz Mikhail, 9, yang juga mempunyai masalah paru-paru kronik, sawan, dan jantung berlubang membuat pemeriksaan doktor.

“Namun selepas doktor memeriksa Mohd Aarizz, didapati paru-paru anak saya tidak normal dan perlu menjalani rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui Berita Harian di rumahnya di sini hari ini.

FOTO: NSTP

Katanya, dia yang hanya bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan dengan pendapatan sekitar RM50 sehari mengakui tidak cukup untuk kos ulang alik selain perbelanjaan susu anaknya.

Menurutnya, Mohd Aariz adalah anak tunggalnya hasil perkahwinan dengan Norhidayu Halim, 35 dan mempunyai empat anak tiri, hasil perkahwinan sebelum ini.

“Anak tiri yang sulung, Ahmad Hafizi Abdul Rahim, 17, orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai penyakit celebral palsy dan yang ketiga, Iman Fayruz juga sakit manakala anak kedua, Ahmad Amirul Amin, 14, dan Nur Rabbiatul Husna, 4, pula sihat.

“Namun, anak sulung, kedua dan ketiga tinggal bersama mentua saya, Che Ma Sebawai, 58, tidak jauh dari sini kerana kami tidak dapat menjaga mereka dan memberi fokus sepenuhnya pada Mohd Aariz Zafran,” katanya.

Kisah Mohd Azlan tular di media sosial apabila ada orang awam merakam video dia bersama isteri dan Mohd Aariz yang memakai topeng alat bantuan pernafasan menaiki motosikal dipercayai ke HSB.

“Saya tak sangka kisah kami ditular di media sosial dua hari lalu kerana membawa Mohd Aariz Zafran ke HSB dengan menaiki motosikal.

“Ada yang simpati dengan kami kerana melihat anak memakai alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) dan terus merakam video kami sebelum ditular ke media sosial,” katanya.

Kepayahan yang dilalui suami isteri itu kemudian mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Datuk Seri Anwar menerusi setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenali keluarga berkenaan sebelum maklumat mengenainya dikongsi oleh netizen.

Menurut Mohd Azlan, dia dan isterinya, Norhidayu membawa anak mereka ke HSB dari rumah mereka di Taman Kota Nelayan, di sini mengikut temu janji doktor dan kadang-kadang tidak menentu.

Mohd Azlan berkata, sepatutnya Mohd Aariz Zafran perlu diberi minum susu formula khas tetapi disebabkan desakan hidup, mereka terpaksa memberinya minum susu formula biasa yang dicampur bijirin.

Katanya, anaknya juga mempunyai masalah gastrik dan tidak boleh diberi makanan lain yang boleh menyebabkan dia muntah semula.

“Saya terharu apabila dimaklumkan Perdana Menteri hendak membantu kerana kesusahan hidup yang saya alami sekarang demi anak saya,” katanya yang boleh dihubungi di talian 017-5748976.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini