comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Derita Kemarau Sungai Pahang’ dan ‘Cendawan Laut’ dalam Majalah 3

PETALING JAYA: Sebut sahaja bandar Temerloh, Pahang, sudah pasti ramai yang akan terbayang juadah istimewa, ikan patin masak tempoyak.

Jadi tidak hairanlah jika bandar kedua terbesar di negeri ini mendapat jolokan sebagai Bandar Ikan Patin.

Namun, di sebalik popularitinya, aset ikonik bandar Temerloh ini berdepan ancaman akibat cuaca panas yang melanda seluruh negara belakangan ini, menjejaskan banyak aktiviti ekonomi penduduk Temerloh.

Kesan pemanasan global yang berpunca daripada fenomena El Nino menyebabkan paras air di Sungai Pahang surut, malah sebahagiaannya kering.

Buat para pengusaha ikan patin sangkar di sepanjang jajaran sungai ini, paras air yang rendah turut memberi tempias kepada aktiviti perikanan. Situasi yang berlaku ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan malah kerugian.

Malah, mukim Chenor di daerah Maran yang dahulunya menjadi lubuk buat para peraih untuk mendapatkan bekalan ikan patin Sungai Pahang kini ‘berduka’ akibat permintaan ikan yang tidak dapat dipenuhi.

Menurut penternak ikan patin sangkar di Temerloh, Mohd Khairulnizam Omar, dia turut mengalami kerugian yang banyak apabila ternakan ikannya banyak yang mati.

Selain mengancam penternakan ikan sangkar, aktiviti penanaman sawah padi turut terjejas kerana air dari Sungai Pahang turut disalirkan ke tapak sawah dan lain-lain pertanian.

Lagi kupasan penuh mengenai fenomena alam yang mengancam aktiviti ekonomi pengusaha ikan patin tempatan ini dikupas dalam Majalah 3.

Penonton episod kali ini juga turut dibawa untuk mengenali ‘Boren’ atau ‘Cendawan Laut’, spesies anemoni haiwan akuatik yang telah menjadi juadah masyarakat Johor sejak lebih 100 tahun yang lalu.

Saksikan Majalah 3 ‘Derita Kemarau Sungai Pahang’ dan ‘Cendawan Laut’ pada jam 9 malam ini di TV3.

Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini