comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dera warga emas: Pemilik, penjaga rumah kebajikan orang tua di Kulim ditahan

KULIM: Polis menahan dua individu yang dipercayai melakukan penderaan terhadap seorang warga emas di sebuah rumah kebajikan orang tua di Taman Desa Aman, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritenden Mohd Azizul Mohd Khairi dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan dibuat selepas menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 petang semalam.

Foto tular

“Aduan itu diterima daripada seorang wanita, berhubung tindakan seorang penghuni rumah kebajikan orang tua yang dipukul dengan mengunakan kayu. Terdapat empat rakaman video yang telah tular di media sosial.

“Penahanan dilakukan terhadap seorang lelaki yang merupakan pemilik rumah kebajikan dan seorang perempuan yang bekerja sebagai pembantu rumah kebajikan berkenaan. Kedua-dua suspek masing-masing berusia 44 dan 36 tahun,” katanya.

Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan mangsa lelaki yang berumur 70 tahun itu sering mendatangkan masalah kerana nyanyuk.

Polis katanya masih menyiasat jika terdapat mangsa lain yang turut dipukul di rumah kebajikan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

Terdahulu, tindakan penjaga wanita itu tular menerusi satu rakaman video yang dikongsi di Facebook sejak semalam.

Rakaman itu menunjukkan seorang wanita yang dipercayai penjaga pusat jagaan itu, sedang memegang kerusi dan membuat cubaan menghayun ke arah warga emas itu.

Wanita itu kemudiannya dipercayai menampar warga emas berkenaan sehingga lelaki itu jatuh di belakang dinding dan menjerit memohon pertolongan.

Wanita itu kemudiannya dilihat keluar dengan membawa sebatang kayu dan kembali memukul warga emas itu.

Perakam video yang dipercayai berada di luar perkarangan pusat jagaan itu, berulang kali menjerit memberikan amaran agar wanita itu menghentikan perbuatannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini