Oleh: Fareez Azman
PETALING JAYA: Kes dera yang membabitkan seorang pelajar di sebuah madrasah tahfiz di Selangor mengempar negara mendapat perhatian media sejak semalam.
Selain siasatan masih dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Buletin TV3 ke madrasah ini bagi mendapatkan penjelasan daripada pengurusannya.
Kedatangan kami disambut baik oleh pengurus berusia 40 an ini yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz.
KES LAMA DITULARKAN
Ujarnya, kes terbabit melibatkan tenaga pengajar yang berusia 20 an dan adiknya yang juga pelajar madrasah itu berlaku beberapa tahun lalu.
“Video yang tersebar itu adalah video antara ustaz (pelaku) itu dan adiknya (mangsa). Ayah kepada ustaz itu sendiri dah buat penafian dan repot polis.
“Video itu dah lama sebelum pandemik COVID-19 antara tahun 2019 dan 2020, kita pun dah lupa. Tapi dibangkitkan balik mungkin atas dasar khianat sebab kita cari orang yang buat repot itu tetapi dia tidak mahu ke depan,” katanya.
Ujarnya, pelaku terbabit telah direman sebelum ini selama seminggu dan dibebaskan atas jaminan polis selepas diambil keterangan.
Tidak menidakkan kejadian itu, sebaliknya ujar ustaz ini, penularan video lama itu dilihat seolah olah mempunyai agenda tertentu.
REKAAN CERITA TIDAK BENAR
Mengulas mengenai dakwaan pelajar tidak diberi makan, tegasnya perkara itu tidak benar.
“Tentang pelajar kebuluran kerana tidak itu tidak mungkin. Pelajar kita Alhamdulilah tajaan makanan sangat banyak, ada tukang masak khas dan mereka ini dijaga rapi.
“Cerita ini (adalah) cerita rekaan. Pelajar kita, saya tidak benarkan ustaz rotan, sekiranya buat salah kita suruh puasa suruh istighfar, atau baca Al-Quran 30 juzuk dan disuruh puasa.
“Bukan tidak makan, supaya nafsunya (pelajar) atau galaknya ditarbiah. Supaya jadi pengajaran tidak lagi melakukan perkara sama. Itu kaedah ulamak, dan kita amat pesan kepada tenaga pengajar ajar jangan rotan pelajar,” jawabnya atas dakwaan itu.
MASALAH TANAH JADI PUNCA
Menjawab mengenai operasi madrasah terbabit tidak berdaftar dengan JAIS, jawabnya, ia disebabkan isu tanah bangunan berkenaan.
Sebaliknya, tenaga pengajar di madrasah terbabit mempunyai pentauliahan.
“Dikatakan kita tidak berdaftar dengan JAIS, itu antara isu juga. Kita bukan tidak mahu berdaftar secara langsung tidak. Kita cuba berdaftar dengan JAIS, cuma tanah kami ada masalah.
“Walau bagaimanapun kami letak madrasah ini dibawah pengurusan pertubuhan kami. Kita amat kecewa bila kes ini dibangkitkan tanpa usul periksa jelas sehingga nama baik banyak pusat tahfiz lain terpalit.
“Seolah olah satu agenda merosakkan nama baik pengajian agama, ini yang kita agak sedih agak terkilan,” katanya lagi.
Kes dera tahfiz ini mulai hangat diperkatakan di media sosial apabila video kejadian itu tular sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Buletin TV3 turut memaklumkan satu kertas siasatan dibuka atas kejadian itu.
Ujarnya sehingga kini, tujuh laporan polis telah diterima.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.