comscore
Tumpuan :
Nasional

Dera kanak-kanak, polis tahan pengasuh

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Seorang wanita ditahan selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Taman Ampang Indah, di sini.

Suspek yang juga pengasuh kepada mangsa terbabit ditahan Khamis lalu susulan laporan polis yang dibuat oleh bapanya yang menyedari terdapat kesan luka pada badan anaknya.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 17 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ampang sebelum Pegawai Perubatan mengesahkan kesan kecederaan lama dan baru pada tubuhnya.

“Pengadu yang juga seorang tukang masak dalam laporan polis yang dibuat mendakwa terdapat kesan luka pada badan anaknya.

“Pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan kecederaan lama serta baharu di belakang badan, muka, kedua-dua bahagian lutut dan kaki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, pihaknya telah menahan seorang wanita berusia 39 tahun bagi membantu siasatan.

“Suspek adalah pengasuh kepada mangsa ketika ibunya keluar bekerja dengan bayaran RM800 sebulan.

“Ibu mangsa juga menyewa bilik di dalam rumah suspek dengan bayaran sewa sebanyak RM550 sebulan,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Wanita itu telah direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Loading...
Terkini