Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
BESUT: Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pendakwaan menganiaya seorang bayi perempuan di bawah jagaan mereka di sebuah taska pada awal bulan ini.
Kedua-dua tertuduh, Wan Zaharah Wan Mahmud, 50 tahun, dan Nuraihan Rozelan, 26 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa sehingga menyebabkan bayi berusia setahun itu cedera pada bahagian lengan kanannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Wan Zaharah dan Nuraihan di sebuah taska di Kampung Raja, Besut, pada pukul 9.45 pagi, 5 September lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mereka juga berhadapan hukuman bon berkelakuan baik dan menjalani khidmat masyarakat jika sabit kesalahan.
8 September lalu kedua-dua tertuduh diberkas polis berikutan penularan satu klip video berusia 25 saat di media sosial.
Dalam rakaman klip video tersebut, bayi terbabit yang sedang menangis didakwa telah ditarik secara kasar dan dari arah belakang sehingga terjatuh terlentang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.